The Future Is...Ours

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri (Surah Ar-Ra'd: 11)

Cetusan Rasa..(Part 1)

Kisah bermula...


Nurul memandang tepat wajah insan di hadapannya itu. Dia cuba mencari sebuah jawapan. Debaran di hati tidak hilang sedikit pun walaupun telah hampir semua pertanyaan dan persoalan telah dilontarkan. Ahh, mengapa mesti mengunci bibirmu. Keluarkan suaramu. Jawab pertanyaanku. Nurul memprotes di dalam hati.

Insan di hadapannya itu hanya tersenyum. Dia mengangkat wajahnya. Nurul cepat-cepat berpaling ke arah lain. Bimbang matanya bertaut dengan mata si jejaka.

“Mungkin Nurul jodoh saya,” jawabnya ringkas.

“Itu sahaja jawapan saudara?” soal Nurul kerana tidak berpuas hati dengan jawapan seringkas itu.

“Ya.”

Nurul memandang temannya Aina yang sejak tadi membatukan diri. Lagaknya seperti ingin meminta pertolongan. Manalah tahu Aina ada apa-apa soalan yang boleh membuka mulut jejaka ini. Namun, Aina hanya tersenyum. Dia juga kaku berhadapan dengan keadaan ini. Nurul yang dikenalinya seperti berubah serta-merta dalam pertemuan ini. Tiada lagi senyuman manis, tiada lagi kata-kata yang penuh berhikmah dan yang paling terkesan, kelembutan yang menjadi darah-dagingnya juga seperti telah terbang di tiup angin.

“Pandai sungguh dia berlakon,”getus hati Aina.

Bibirnya mengukir senyum apabila Nurul mengajaknya pulang. Masa yang ditunggu telah tiba. Nurul telah berjanji akan membelanjanya makan selepas pertemuan itu selesai. Bukan mengambil kesempatan, cuma poketnya hampir kosong. Almaklumlah sekarang sudah berada di penghujung semester.

Semasa dalam perjalanan ke cafe, Aina mengambil kesempatan bertanya Nurul perihal perubahan tingkah-lakunya sebentar tadi.


Boleh Aina Tanya sikit?”

“Emm, tanyalah...”

“Kenapa Nurul garang sangat dengan Izzat tu? Kesian dia,”

“Garang ke? Nurul rasa cam biasa je tadi,” Nurul menjawab sambil bibirnya mengukir senyuman.

Aina cuba membaca isi hati sahabat baiknya itu. Senyuman Nurul bagai tersirat 1001 macam maksud. Aina hanya mendiamkan diri, mungkin Nurul belum bersedia menceritakan isi hatinya.

Deringan telefon yang mendendangkan lagu “Atas Nama Cinta” nyanyian kumpulan UNIC sedikit mengganggu tumpuan Nurul yang sedang bertungkus-lumus menyiapkan assignment yang perlu dihantar dua minggu lagi. Kerutan di dahinya hilang dan digantikan dengan senyuman apabila melihat nama si pemanggil. Insan yang sentiasa dirinduinya siang dan malam.

“ Assalamualaikum ibu,” sapa Nurul lembut.

“Waalaikumusalam. Nurul tengah buat apa tu? Sibuk ke?,” soal ibunya.

“Tak lah sibuk sangat, tengah siapakan assignment. Dua minggu lagi kena hantar. Ibu sihat? Abah macam mana?”

“Alhamdulillah, kami sihat. Emm, sebenarnya ibu dan abah ada hal penting nak berbincang dengan Nurul. Nurul boleh balik kampung hujung minggu ni?”

“Hal apa yang penting sangat tu sampai tak dapat bagitahu melalui telefon,” seloroh Nurul. “Adalah.. ini hal masa depan Nurul,”

Setelah memutuskan talian telefon, Nurul mula termanggu. Dia sudah berasa tidak sedap hati. Hal apakah yang ingin diberitahu ibu? Masa depan? Hal baik atau sebaliknya? Screen laptop dihadapannya dipandang tanpa berkelip. Fikirannya mula melayang entah ke mana. Jantungnya mula berdegup kencang menyebabkan aliran darah dalam tubuhnya bergerak laju merentasi segala otot dan bahagian tubuh yang lain. Jarinya lantas memicit-micit kepala yang tidak sakit. Perbualan dengan ibu sebentar tadi telah menyebabkan dia berasa tidak keruan. Oh, ibuku!

**********

Angin petang bertiup sepoi-sepoi bahasa. Kelihatan sekumpulan kanak-kanak sedang riang bermain kejar-kejar di halaman rumah. Padi yang mulai menguning di petak-petak sawah dan burung-burung yang bebas berterbangan mengindahkan lagi pemandangan petang itu. Segala beban pelajarannya terasa hilang semenjak dia sampai ke rumah beberapa jam yang lalu. Nurul menghayun langkah ke sebatang pohon besar dihadapan rumah. Di bawah pohon yang rendang itu terdapat sebuah buai dan pangkin. Di situlah dia dan ibunya selalu berbual-bual.

Suasana damai petang itu tidaklah sedamai hatinya. Ibunya masih belum menyampaikan hal tersebut. Ingin sahaja dia meminta ibu menceritakan hal itu setibanyan dia di rumah tadi. Namun, aroma asam pedas kegemarannya membantutkan pertanyaan malah menaikkan selera makannya pula. Nurul tersenyum sendiri.

“Hai anak dara, kenapa senyum sorang-sorang ni?”

Nurul berpaling ke arah pemilik suara itu. Ibu dan abahnya menghadiahkan senyuman buat satu-satunya anak gadis yang mereka miliki.

“Ingat kat siapa la tu,” abah mula berseloroh.

“Mana ada ingat kat siapa-siapa. Tengah memerhati keindahan alam. Anak ibu dan abah ni kan pencinta alam orangnya,”jawab Nurul manja.

Nurul akui, walaupun usianya sudah menjengah angka 22 dan bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi, namun sifat keanak-anakkan dalam dirinya masih menebal. Mungkin kerana dia satu-satunya puteri yang dimiliki oleh pasangan Haji Ahmad dan Hajah Zubaidah di samping dua orang putera yang sudah bekerjaya dan seorang putera yang masih di zaman remaja.

“Hal apa yang ibu nak beritahu hari tu?”, soal Nurul tanpa berlengah.

Haji Ahmad dan Hajah Zubaidah berpandangan. Raut wajah mereka sedikit berubah. Bimbang hal yang bakal disampaikan akan mengganggu tumpuan Nurul belajar. Walaupun sifatnya seperti keanak-anakkan, tetapi fikiran Nurul sematang usianya. Haji Ahmad yakin pelajaran anakknya tidak akan terganggu, cuma si ibu yang masih berat hati menceritakan hal tersebut.

“Ada orang datang bertanya,” abah mula membuka cerita.

“Datang bertanya? Tanya apa?” serius Nurul tidak faham.

“Macam ni..” ibu mula menyusun kata.

“Ada orang datang merisik Nurul.”

“Siapa?”

“Orang Selangor. Keluarga Tengku Mahfuz.”

“Tengku Mahfuz? Siapa tu?” soal Nurul ingin kepastian.

“Kawan lama abah kamu. Sama-sama belajar di Madrasah At-Ti Hadiah dulu,” terang ibu.

Nurul hanya mendiamkan diri. Bila pula abah aku ada kawan daripada golongan Tengku-tengku ni. Aish..

“Mereka datang merisik untuk anak mereka, kalau tak silap, Izzat namanya,” abah mula bersuara.

Nurul memandang wajah tenang abah sambil tangannya menggapai sampul surat yang abah hulurkan.

“Itu gambar orangnya. Nurul fikirlah masak-masak sebelum memberi jawapan. Apa sekalipun jawapan Nurul, abah dan ibu akan sokong,” tambah abah.

“Abah dan ibu dah lihat orangnya? Pandangan abah dan ibu bagaimana?” Sekali lagi ibu dan abah berpandangan. Tetapi kali ini senyuman mereka meleret-leret dan tidak lekang dari bibir. Nurul bertambah binggung.

Malam itu Nurul sangat susah untuk melelapkan mata. Apa yang dibongkarkan oleh abah dan ibu petang tadi benar-benar menghantui dirinya.

Sebenarnya kami dah lama kenal Izzat tu. Abah mula-mula kenal dia masa dia ikut Tengku Mahfuz ke majlis perkahwinan sepupu kamu, Mazuin, tahun lepas. Masa tu kamu sibuk bantu Mak Long sampai tak sempat nak kenalkan dengan Izzat. Kali kedua abah jumpa dia di madrasah. Dia menggantikan papanya semasa reunion kami. Semenjak waktu tu, dia selalu juga telefon abah bertanya khabar. Dia pun pernah datang ke rumah. Cuma kamu je yang tak tahu.

0 Insan yg prihatin: