The Future Is...Ours

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri (Surah Ar-Ra'd: 11)

Ibu kita..






Memang sukar untuk orang lain percaya,tapi itulah yang berlaku.  Sepanjang ingatan saya sekurang-kurangnya 8 kali ibu 'membohongi' saya. Saya perlu kongsikan cerita itu untuk dijadikan renungan anda sekalian.


Cerita ini bermula ketika saya masih kecil. Saya lahir sebagai seorang anak lelaki dalam sebuah keluarga miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Adakalanya, selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan ikan masin dikongsi satu keluarga. Sebagai anak yang masih kecil, saya sering saja merungut. Saya menangis mahukan nasi dan lauk yang banyak. Tapi ibu cepat memujuk. Ketika makan, ibu sering membahagikan bahagian nasinya untuk saya. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk saya, ibu berkata : "Makanlah nak ibu tak lapar." CERITA PERTAMA.


Ketika saya mulai besar ibu yang gigih sering meluangkan watu senggangnya untuk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Ibu berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk membesarkan kami adik-beradik. Pulang dari memancing, ibu memasak gulai ikan yang segar dan mengundang selera. Sewaktu saya memakan gulai ikan itu ibu duduk disamping kami dan memakan sisa daging ikan yang masih menempel di tulang daripada bekas sisa ikan yang saya makan tadi. Saya sedih melihat ibu seperti itu.. Hati saya tersentuh lalu dengan menggunakan sudu saya memberikan ikan itu kepada ibu. Tetapi ibu dengan cepat menolaknya. Ibu berkata : "Makanlah nak, ibu tak suka makan ikan." CERITA KEDUA.



Di usia awal remaja, saya masuk sekolah menengah. Ibu pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih untuk menyara persekolahan saya,abang dan kakak. Suatu dinihari lebih kurang pukul 1.30 pagi saya terjaga dari tidur. Saya melihat ibu membuat kuih dengan beremankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali saya melihat kepala ibu terhangguk kerana mengantuk. Saya berkata : "Ibu, tidurlah, esok pagi ibu kena pergi kebun pula." Ibu tersenyum dan berkata : "Cepatlah tidur nak, ibu belum mengantuk lagi." CERITA KETIGA.



Di hujung musim persekolahan, ibu meminta cuti kerja supaya dapat menemani saya pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, ibu terus sabar menunggu saya di luar dewan. Ibu seringkali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Illahi agar saya lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang. Ketika loceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, ibu dengan segera menyambut saya dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang ibu yang jauh lebih kental. Melihat tubuh ibu yang dibasahi peluh, saya segera memberikan cawan saya itu kepada ibu dan menyuruhnya minum. Tapi ibu cepat-cepat menolaknya dan berkata : "Minumlah nak, ibu tak haus!!" CERITA KEEMPAT.



Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas saya baru beberapa bulan dilahirkan, ibulah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Ibu bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan menjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan. Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang untuk membantu ibu. Anehnya, ibu menolak bantuan itu. Jiran-jiran sering kali menasihati ibu supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi ibu yang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Ibu berkata : "Saya tidak perlukan cinta dan saya tidak perlukan lelaki." CERITA KELIMA.


Setelah kakak dan abang habis belajar dan mula bekerja, ibu sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh ibu supaya berehat sahaja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi ibu tidak mahu. Ibu rela pergi ke pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi keperluan hidupnya. Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan ibu, pun begitu ibu tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan ibu mengirim balik wang itu dan ibu berkata : "Jangan susah-susah, ibu ada duit" CERITA KEENAM.


Setelah tamat pengajian di universiti, saya melanjutkan lagi pelajaran ke peringkat sarjana di luar Negara. Pengajian saya di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu saya sudahi dengan cemerlang,kemudian saya pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian saya juga di luar negara. Dengan gaji yang agak lumayan, saya berhajat membawa ibu untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan saya, ibu sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini ibu habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula. Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan saya. Ibu tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata ; "Tak payahlah, ibu tak biasa tinggal di negara orang." CERITA KETUJUH.


Beberapa tahun berlalu, ibu semakin tua.. Suatu malam saya menerima berita ibu diserang penyakit kanser Ibu mesti dibedah secepat mungkin. Saya yang ketika itu berada jauh diseberang samudera terus segera pulang untuk menjenguk ibunda tercinta. Saya melihat ibu terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Ibu yang kelihatan sangat tua, menatap wajah saya dengan penuh kerinduan. Ibu menghadiahkan saya sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpaksa menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya.. Saya dapat melihat dengan jelas betapa seksanya penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga ibu menjadi terlalu lemah dan kurus. Saya menatap wajah ibu sambil berlinangan air mata. Saya cium tangan ibu kemudian saya kecup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati saya terlalu pedih, sakit sekali melihat ibu dalam keadaan seperti ini. Tetapi ibu tetap tersenyum dan berkata : "Jangan menangis nak, ibu tak sakit." .CERITA KELAPAN


Setelah mengucapkan cerita yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata, 'Ibu,saya sayangkan ibu.' Tapi tidak saya. Sehingga kini saya diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun saya mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun saya membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat ibu menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Ibu, maafkan saya. Saya sayangkan ibu
"SEMOGA MENJADI TAULADAN".... :(






Sebiru Hari Persekolahan Itu (1)


Zaman sekolah itu. Cukup lama sudah ditinggalkan. Rasanya hampir 3 tahun. Siapa kata tak indah, seronok, kelakar? Ingat lagi masa zaman budak-budak. Waktu tu, umur 8 tahun. Budak-budak. Tau suka nak berkejar-kejar je. Tapi, aku ni jenis yang agak 'slow motion' sikit. Haha. Sebab, tak suka lah kejar-kejar ni. Kecuali, kalau dah 'terpaksa'. Hah, terpaksa macam mana? Adalah satu hari tu, waktu rehat jam 10 pagi. Bunyi je loceng, "horrayy!" tau pagar sekolah? tiba-tiba muncul la signboard dari bawah tanah muncul. Tertulis kat situ. Kepada ibu bapa, pelawat yg nak masuk nampak la sign tu. 
"AWAS, anak-anak GORILA sedang mengganas dengan RAKUSnya.! HATI-HATI!! "

ada la pulak time kat bawah tu tertulis, "Dari jam 10pagi-10.30pagi. Sekian" Dalam tulisan merah. Background putih. Macam signboard berhenti tu. *Haha. Gurau.

Apelagi, pecut 50 meter je la nak ke finishing line.fuh, nasib baik sempat. macam biasa, 1st place la. Booking kat kantin tu. Bila tiba kat tempat kaunter beli tu, ada mak cik tanya, "Nak beli apa dik?" "Erm,nak epok-epok, cik!" "berapa?" dengan kiutnya, menaikkan dua jari. jari telunjuk dan jari tengah. "dua, cik. hehe" pergh, dengan bangganya tu. Dah dapat bungkusan berisi dua epok-epok tu, seluk la poket. Harga satu, 20sen. jadi dua, 40sen. "Eh, apasal, takde ni" kocek baju, kocek seluar, habis dah seluk. ternampak poket kawan kat belakang tengah beratur. Perempuan.Ha, apalagi, seluk lah. "Pang!!" "eh, banyak cantik, nak seluk duit saya. " "eh, la..ingat poket sendiri. ngeh,ngeh" muka senyum kelat je. baru teringat, masa pecut 50m tadi la, tercicir kot. mungkin2."erm, takpela cik. tak jadi beli. =(" dengan muka seposen, aku berlalu pergi. Membawa diri. Terhuyung hayang. Memikirkan nasib badan. Macam orang pasrah dah. Tak keruan. Waktu tu pulak, tali kasut terbukak. Sebab tak ikat ketat-ketat.

Rasa macam nak jatuh je ni. Eh, eh. sebelum jatuh menyungkur ke bumi, ada orang sambut badan aku. Aku tegak semula. Budak perempuan tadi la. Yang beratur kat belakang tadi. Yang aku seluk poket dia. Sambil tu, aku terlihat muka dia. Dia lihat muka aku. Alamak, dah macam cerita Secret Garden lah pulak. *ahaha. Adakah ini cinta pandang pertama?? huahua. Sambil hulur bungkusan berisi epok-epok yang aku nak beli tadi tapi tak dapat."awak, amekla ni." Eh, baik giler minah ni. "erm,eh, takpe ke? " "takpe-takpe. ameklah. ikhlas ni" ceh, ikhlas pun nak cakap ke =_='..haha..gurau** dengan pantasnya aku menyambar pemberian tu. zapp!! "terima kasih!" aku terus berlari sejauh-jauhnya dengan perasaan baru yg wujud dalam hati.  Apakah perasaan itu? jeng jeng. Tulah, aku ni jenis yang macam tu. Dengan lelaki ok, tapi dengan kaum Hawa ni, fuh jangan la. Cair! Macam eskerim yg sedang cair. =3

Tunjuk macho la lari kuat-kuat. Lelaki. Memang bajet.Kebetulan time berlari tu, menghala ke bukit. Tinggi jugak la bukit tu. Sebelum rehat, tadi baru hujan. Tak jugak lebat la. tapi, tanah agak basah. Sekarang dah berhenti. time nak climb tu, masa first stage ok lagi. maklumlah larian milo yg cukup bertenaga kan? haha. Second stage, pijak lecak nih. rasa macam nak jatuh. fokus. Third stage puncak bukit tu. Puncak bukit tu terus melebar jadi dataran harian kiteorang berkumpul setiap hari pagi-pagi. Tiba-tiba, zreett..licin kau! haha..jatuh bergolek-golek. haha. Kemudian stop. Habis kotor dengan lumpur abadi. Gerenti kena kaw-kaw ni dengan mak.Aku tak pasti budak perempuan tu, ada lagi kat bawah bukit tu. Cuba la pusing kepala perlahan-perlahan.Pusing je ke belakang, alamak! Dia kat belakang lah!! Betul-betul kat belakang aku. Sambil ketawa sopan. (tekup mulut) Tiba-tiba, muka panas, jadi merah padam. Malu nye!! hahah. Budak perempuan tu, datang mendekat. Semakin dekat.Aku jadi tak keruan...

Aku..



Bersambung...

Tempat itu bernama Sabah.


Salam Mahababah. 
Sedih dengar tentang isu keganasan yang melibatkan pengorbanan yang berlaku di Sabah sekarang ini. Takziah diucapkan kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terkorban dalam misi ini. Mudahan, roh-roh itu mendapat rahmat dan ganjaran daripada Allah SWT. Banyak pihak sengaja memanipulasi isu sama ada bermotifkan politik atau dsb. Mari baca sedikit fakta-fakta tentang Malaysia, Sabah dan Kesultanan Sulu. 


Dan perangilah kerana (menegakkan dan mempertahankan) agama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu menceroboh (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang menceroboh.(Al-Baqarah 2:190)

21.04.1434 SIAPA YANG MENCEROBOH ?

1. Siapakah Yang Menceroboh? 

Kumpulan penceroboh yang dikenali sebagai ‘Tentera DiRaja Kesultanan Sulu’ (The Royal Sulu Sultanate Army)1 datang dari Selatan Filipina dan dianggarkan terdiri daripada kira-kira 200-400 orang, dengan 20-100 orang daripada mereka bersenjata2. Kumpulan ini diketuai oleh ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram, adik kepada ‘mantan sultan’ Jamalul Kiram III dan ‘sultan’ Ismael Kiram II.Jamalul Kiram III pernah bertanding untuk jawatan senator dalam pilihanraya Filipina.

2. Adakah Kumpulan Penceroboh Ini Mewakili Kesultanan Sulu? 

Tidak.

Ini kerana kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986. Kini terdapat dua pihak utama yang mengaku sebagai Sultan Sulu:

Pertama, Muedzul Lail Tan Kiram, anak kepada Sultan Sulu terakhir yang diiktiraf kerajaan Filipina, Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram. Beliau dilantik sebagai Raja Muda pada hari penabalan bapa beliau sebagai sultan.

Kedua, Ismael Kiram II, abang kepada ketua penceroboh, ‘Raja Muda’ Agbimuddin Kiram.

3. Apakah Tujuan Kumpulan Penceroboh? 

‘Mantan sultan’ Jamalul Kiram III menyatakan bahawa kumpulan ini ingin menjadikan Sabah sebagai ‘rumah’ mereka:

“Mengapa kami harus meninggalkan rumah kami sendiri? Hakikatnya mereka (rakyat Malaysia) membayar sewa (kepada kami). Pengikut kami akan tinggal di Lahad Datu, Sabah. Tiada siapa akan dihantar pulang ke Filipina. Sabah ialah rumah kami”.2

4. Adakah Filipina Pernah Membuat Tuntutan Terhadap Sabah? 

Ya.

Filipina membuat tuntutan terhadap Sabah kerana menganggap Kesultanan Sulu, yang pernah berpusat di Filipina, memiliki hak ke atas Sabah.

Setiausaha Kehakiman, Kementerian Luar dan Pejabat Presiden Filipina kini telah diarahkan untuk melakukan kajian mengenai tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah.5

5. Adakah Malaysia Boleh Membuat Tuntutan Terhadap Wilayah Milik Filipina Sekiranya Kesultanan Sulu Menjadikan Sabah Sebagai Pusat Pentadbiran? 

Sabah tidak pernah menjadi pusat Kesultanan Sulu.

Malah, Sabah dianggap kurang penting oleh Kesultanan Sulu sehinggakan ia diserah kepada British North Borneo Company pada 22 Januari 1878.

Pusat Kesultanan Sulu terletak di Maimbung, Jolo.

6. Benarkah Malaysia Membayar Sewa Kepada Filipina Untuk Sabah? 

Tidak.

Malaysia membayar ‘cession money‘ sebanyak USD5,000 setiap tahun kepada waris Sultan Sulu.

‘Cession money‘ ialah bayaran penyerahan, dan bukan bayaran sewa. Selain Sabah, terdapat wilayah-wilayah lain di dunia yang diserahkan (ceded) dengan bayaran, contohnya:

1. Louisiana, diserah oleh Perancis kepada Amerika Syarikat dengan bayaran berjumlah USD15 juta, atau kurang USD0.03 seekar.
2. Alaska, diserah oleh Russia kepada Amerika Syarikat dengan bayaran USD7.2 juta, atau USD0.02 seekar 

7. Apakah Wilayah Yang Menjadi Hak Kesultanan Sulu? 

Royal House of Sulu9, laman web rasmi Muedzul Lail Tan Kiram, mendakwa bahawa wilayah-wilayah yang menjadi hak Kesultanan Sulu termasuklah Jolo, Palawan, Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina, selain Sabah dan Pulau Balambangan di Malaysia. Kepulauan Spratly juga didakwa di bawah hak Kesultanan Sulu.

Jolo, Basilan dan Tawi-Tawi sekarang berada di dalam wilayah pentadbiran Filipina yang dinamakan ARMM (Autonomous Region in Muslim Mindanao – Wilayah Autonomi Muslim Mindanao). ARMM dicadang untuk digantikan dengan wilayah autonomi baru yang dikenali sebagai Bangsamoro.

8. Adakah Filipina Mengiktiraf Kesultanan Sulu? 

Tidak.

Kali terakhir kerajaan Filipina mengiktiraf Sultan Sulu ialah pada 24 Mei 1974 apabila Presiden Filipina ketika itu, Ferdinand Marcos, mengeluarkan Memorandum Order No. 427 yang menabalkan Mohd. Mahakuttah A. Kiram sebagai sultan.

Sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram, kerajaan Filipina tidak pernah lagi mengiktiraf mana-mana individu sebagai Sultan Sulu.

9. Adakah Ini Bermakna Filipina Memanipulasi Kesultanan Sulu Untuk Menuntut Sabah?

Filipina dilaporkan pernah memulakan ‘Operation Merdeka‘ pada 1967, satu operasi ketenteraan untuk melatih pasukan komando daripada etnik Tausug dan Sama yang beragama Islam bagi menimbulkan ketidakstabilan dan kacau-bilau di Sabah.

Namun, sebaik sahaja mengetahui matlamat sebenar operasi ini ialah untuk memerangi kerajaan yang dipimpin oleh orang Islam, pelatih-pelatih etnik Tausug dan Sama ini telah menuntut agar dihantar pulang. Walau bagaimanapun, Pasukan Bersenjata Filipina (AFP – Armed Forces of the Philippines) dikatakan telah menembak mati para pelatih ini. Dilaporkan seramai 11-64 orang telah mati ditembak. Kejadian ini dikenali sebagai Jabidah Massacre (Pembunuhan Jabidah) atau Corregidor Massacre (Pembunuhan Corregidor).

William Larousse10, Michael Leifer11, Andrew T. H. Tan12 dan Alfred W. McCoy13 adalah antara para penulis yang telah melaporkan kejadian ini.

10. Apakah Peluang Filipina Untuk Menuntut Sabah Sekiranya Kes Ini Dibawa Ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ)?

Tipis

Pertama, kerana waris Sultan Sulu telah menerima ‘cession money‘ sehingga ke hari ini. Ini bermakna waris Sultan Sulu mengakui bahawa Sabah telah diserah (ceded), dan bukannya dipajak (leased), kepada British North Borneo Company.

Kedua, kerana Kerajaan Filipina telah berhenti mengiktiraf Sultan Sulu sejak kemangkatan Sultan Mohd. Mahakuttah A. Kiram pada tahun 1986.

Geran yang dijadikan sumber konflik telah ditandatangani oleh Sultan Sulu, Sultan Jamalul A’lam dengan Gustavus Baron de Overbeck serta Alfred Dent, yang mewakili British North Borneo Company, pada 22 Januari 1878.

Ketiga, geran yang ditandatangani antara British North Borneo Company dan Kesultanan Sulu itu telah diatasi oleh Protokol Madrid 1885.

Sepanyol, yang menguasai wilayah-wilayah­ Kesultanan Sulu ketika itu, telah menandatangani perjanjian dengan Jerman dan Great Britain pada 7 Mac 1885 untuk melepaskan segala tuntutan terhadap kedaulatan Sabah:

Article 3
The Spanish Government relinquishes as far as regards the British Government, all claim of sovereignty over the territories of the continent of Borneo which belong, or which have belonged in the past, to the Sultan of Sulu (Jolo), including therein the neighboring islands of Balambangan, Banguey and Malawali, as well as all those islands lying within a zone of three marine leagues along the coasts and which form part of the territories administered by the Company styled the ‘British North Borneo Company’.

(Kerajaan Sepanyol melepaskan kepada Kerajaan British, semua tuntutan kedaulatan ke atas wilayah-wilayah benua Borneo yang dimiliki, atau yang telah dimiliki pada masa lampau, oleh Sultan Sulu (Jolo), termasuk pulau-pulau Balambangan, Banguey dan Malawali yang berhampiran, dan semua pulau-pulau yang berada di dalam zon tiga liga marin di sepanjang pesisir pantai dan membentuk sebahagian wilayah yang ditadbir oleh Syarikat yang digelar ‘British North Borneo Company‘.)14

Keempat, Kesultanan Sulu dianggap telah tamat sebaik sahaja Sultan Jamalul Kiram II menandatangani Perjanjian Carpenter pada 22 Mac 1915, yang menyerahkan segala kuasa politik beliau kepada Amerika Syarikat.

Kelima, kerajaan Malaysia telah mengambil tanggungjawab untuk membangunkan prasarana bagi kemudahan para penduduk Sabah sejak 1963 tanpa bantahan Kesultanan Sulu mahupun kerajaan Filipina. Ini membuktikan pemilikan dan pentadbiran yang aman secara berterusan oleh kerajaan Malaysia ke atas Sabah.
Mengikut dasar effectivites yang diambil kira oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ – International Court of Justice), Malaysia boleh dianugerahkan hak ke atas Sabah, sepertimana yang pernah diberikan kepada kerajaan Malaysia dalam kes Ligitan-Sipadan.

Keenam, laporan Suruhanjaya Cobbold yang dikeluarkan pada 1 Ogos 1962 mendapati bahawa 1/3 penduduk Sabah dan Sarawak menyokong kuat pembentukan Malaysia, 1/3 lagi menyokong projek Malaysia dengan syarat hak mereka dilindungi, manakala kumpulan 1/3 yang terakhir terbahagi antara mereka yang mahukan kemerdekaan dan mereka yang mahukan pentadbiran British diteruskan.

Ketujuh, Setiausaha Agung PBB, U Thant, telah melaporkan pada 1963 bahawa penduduk Sabah “ingin menamatkan status kebergantungan mereka dan merealisasikan kemerdekaan mereka melalui penyekutuan yang dipilih secara bebas dengan bangsa lain dalam rantau mereka” (“wish to bring their dependent status to an end and to realize their independence through freely chosen association with other peoples in their region”).15

Kelapan, jika Kesultanan Sulu mendakwa bahawa Sabah adalah milik mereka, maka adalah konsisten bagi Kesultanan Sulu untuk tidak sahaja membuat tuntutan terhadap Sabah semata-mata, malah juga menuntut dan menguasai pusat pentadbiran mereka sendiri di Jolo, selain wilayah Palawan, Semenanjung Zamboanga, Basilan dan Tawi-Tawi di Filipina yang juga mereka dakwa merupakan milik mereka.

Walau bagaimanapun, Kesultanan Sulu tidak memiliki apa-apa kuasa politik terhadap wilayah-wilayah yang terletak di Filipina ini.



Pulau Sipadan. Cantik ^^


p/s: betulkan saya, jikalau salah. =)

Cerpen Pendek : Kalau Tak Suka, Pulangkan..



Kereta dihentikan betul-betul di hadapan rumah. Pintu pagar automatiknya terbuka. Perlahan kereta dihalakan ke dalam garaj.

“Horey! Papa balik!” Kelihatan anak-anaknya berlari mengiringi keretanya.
“Tepi! Bahaya tau tak?” Jeritnya.
Anak-anak termanggu. Cahaya kegembiraan di wajah mereka pudar.
“Aimin bawa adik ke belakang.” Arahnya pada anak yang sulong.

Pulangnya petang itu disambut dingin oleh anak-anak. Isterinya turut terdiam bila mendengar anak-anak mengadu tentang papa mereka.

“Papa penat. Aimin bawa adik mandi dulu. Mama siapkan minum petang. Lepas minum papa mesti nak main bola dengan kita,” pujuk Laila.
Dia yang mendengar di ruang tamu hanya mendengus. Seketika kemudian terdengar hilai tawa anak-anaknya di bilik mandi. Dia bangun.

“Hah! Main air. Bil bulan ini papa kena bayar dekat seratus. Cepat! Tutup paip tu! Buka shower!” Sergahnya. Suara yang bergema mematikan tawa anak-anaknya.

“Asal saya balik rumah mesti bersepah. Kain baju berselerak. Apa awak makan tidur aje ke duduk rumah?” sambungnya kembali bila isterinya terpacul di belakang pintu.

“Anak-anak pa. Diorang yang main tu. Takpe nanti mama kemas. Papa minum ye. Mama dah siapkan kat taman.” Balas isterinya lembut.
“Fail saya kat depan tu mana?”
“Mama letak dalam bilik. Takut budak-budak alihkan.”
“Boleh tak awak jangan usik barang-barang saya? Susah tau tak? Fail tu patutnya saya bawa meeting tengahari tadi.” Rungutnya sekalipun di hati kecil mengakui kebenaran kata-kata isterinya itu.
Suasana sepi kembali. Dia menarik nafas berat. Terasa begitu jauh berbeza. Dia tercari-cari riuh suara anak-anak dan wajah isterinya. “Laila” Keluhnya Akhirnya dia terlena di sofa.

—————————————————————————-

“Saya nak ke out station minggu depan.”
“Lama?” Soal Laila.
“Dalam seminggu.”
“Cuti sekolah pun lama. Mama ikut boleh?”
“Budak-budak? “
“Ikut jugalah.”
“Dah! Takde! Takde! Susah nanti. Macam-macam diorang buat kat sana . Tengok masa kat Legacy dulu tu..”
“Masa tu Amirul kecik lagi.” Balas Laila.

Wajahnya sayu. Dia masih berusaha memujuk biarpun dia tahu suaminya tak mungkin berganjak dari keputusan yang dibuat. Tak mungkin peristiwa Amirul terpecahkan pinggan di hotel dulu berulang. Anak itu masih kecil benar sewaktu ia berlaku. Lagipun apa sangatlah harganya pinggan itu malahan pihak hotel pun tak minta ganti rugi.

” Bolehlah Pa ! Lama sangat kita tak ke mana-mana.”
“Nak jalan sangat Sabtu ni saya hantar awak balik kampung,” Muktamad!

Demikianlah seperti kata-katanya. Anak-anak dan isterinya dihantar ke kampung. Laila tak merungut apa-apa meskipun dia tahu isterinya berkecil hati. Anak-anak terlompat riang sebaik kereta berhenti di pengkarangan rumah nenek mereka. Tak sampai setengah jam dia telah bergegas semula untuk pulang. Bapa mertuanya membekalkan sebuah kitab lama.

“Cuba-cubalah baca. Kitab tu pun abah ambil dari masjid. Dari mereka bakar abah ambik bagi kamu!”
“Manalah saya ada masa..”
“Takpe..pegang dulu. Kalau tak suka pulangkan balik!” Dia tersentak dari khayalannya.
“Kalau tak suka pulangkan balik!” Kata-kata itu bergema di fikirannya. Dia rasa tersindir.
Tahukah bapa mertuanya masalah yang melanda rumahtangganya itu? Bukan..bukan tak suka malah dia tetap sayang sekalipun Laila bukan pilihannya. Dunia akhirat Laila adalah isterinya. Cuma..
“Mizi, makan!” Panggil ibunya yang datang menemaninya sejak seminggu lalu. “Jangan ikutkan hati. Yang sudah tu sudahlah.”

———————————————————————————-

“Papa! Makan!” Jerit Aiman ,anak keduanya sambil tersengih-sengih mendapatkan dirinya.
“Tak boleh panggil papa elok-elok. Ingat papa ni pekak ke?”
Aiman menggaru kepalanya yang tak gatal. Pelik! Kenapa papanya tiba-tiba saja marah. Dia berpatah semula ke dapur.
“Awak masak apa?”
“Mama masak sup tulang dengan sambal udang!” jawab Amirul memotong sebelum sempat mamanya membuka mulut.
“Takde benda lain ke awak boleh masak? Dah saya tak nak makan. Hilang selera!”
“Papa nak ke mana?” Soal isterinya perlahan.
“Keluar!”
“Mama dah masak Pa!”
“Awak saja makan!”
“Takpe Aiman boleh habiskan. Cepatlah ma!”
Laila tahu Aiman hanya memujuk. Anak keduanya itu sudah pandai mengambil hatinya. Aimin tersandar di kerusi makan. Sekadar memerhati langkah papanya keluar dari ruang makan.
“Kenapa sekarang ni papa selalu marah-marah ma?” Soal Aimin sambil menarik pinggannya yang telah berisi nasi.
“Papa banyak kerja agaknya. Dah! Makan.”
“Abang tak suka tengok papa marah-marah. .”
“Adik pun sama. Bila papa marah muka dia macam gorilla kan ?”
Kata-kata Aiman disambut tawa oleh abang-abangnya yang lain. Laila menjeling. Di hati kecilnya turut terguris.Besar sangatkah dosanya hingga menjamah nasi pun tidak. Kalau ada pun salahnya, apa?

Syamizi menjengah ke ruang dapur. Kosong.
“Laila..” serunya
“Sudahlah tu Mizi! Jangan diingat-ingat. Kerja Tuhan ni tak dapat kita tolak-tolak. Bawak-bawaklah beristighfar. Kalau terus macam ni sakit kau nanti.” Kata ibunya yang muncul tiba-tiba.
“Sunyi pulak rumah ni mak,”
“Lama-lama kau biasalah.”
Airmatanya menitis laju. “Kalau tak suka pulangkan!” Dia rasa terhukum. Hampir segenap saat kata-kata itu bergema di sekitarnya. Dia rasa terluka. Kehilangan yang amat sangat.

———————————————————————————-

“Papa beli apa untuk Aiman?” Soal Aiman sebaik dia pulang dari outstationnya.
“Beli apa pulak? Barang permainan kan bersepah dalam bilik belakang tu.”
“Tak ada lah?”
“Ingat papa ni cop duit?”

Aiman termangu. Dia berlalu mencari mamanya di dapur. Seketika kemudian rumah kembali riuh dengan telatah anak-anak lelakinya yang bertiga itu mengiringi mama mereka yang sedang menatang dulang berisi hidangan minum petang.
Wajah Laila direnungnya. Ada kelainan pada raut itu. Riaknya tenang tapi ada sesuatu yang sukar ditafsirkannya.
“Awak tak sihat ke?”
Laila tersenyum. Tangannya pantas menuang air ke cawan.
“Papa, tak lama lagi abang dapat adik lagi.” Aimin mencelah di antara perbualan kedua ibu bapanya.
Shamizi tersenyum. Jemari isterinya digenggam erat. Tiba-tiba cawan berisi kopi yang masih panas terjatuh dan pecah di lantai. Aiman tercegat.

“Tengok! Ada saja yang kamu buat. Cuba duduk baik-baik. Kalau air tu tak tumpah tak sah!” Tempiknya membuatkan anak itu tertunduk ketakutan. Baju mamanya dipegang kejap.

Lengan Aiman dipegangnya kuat hingga anak kecil itu mula menangis. Pantas saja akhbar di tangannya hinggap ke kepala anaknya itu. Laila cuba menghalang tapi dia pantas dulu menolak isterinya ke tepi. Aiman di pukul lagi. Amirul menangis. Aimin mendapatkan mamanya.

“Perangai macam beruk! Tak pernah buat orang senang!”
Laila bangun dari jatuhnya dan menarik lembut Aiman ke dalam pelukkannya. Airmata mereka bersatu. Pilu sungguh hatinya melihat kekasaran suaminya terhadap anak-anak.

“Cukuplah pa. Papa dah hukum pun dia tapi janganlah sebut yang bukan-bukan. ” Ujar Laila perlahan
“Macamana awak didik budak-budak sampai macam ni teruk perangainya? Tengok anak orang lain ada macam ni? Anak kak Long tu tak pulak macam ni. Panjat sana , kecah barang. Gila apa?” Omelnya kembali.

Shamizi meraut wajah. Bukan kepalang salahnya pada Aiman. Padanya anak itu tak pernah dapat memuaskan hatinya. Ada saja salah Aiman di matanya. Ada saja yang kurang di hatinya terhadap anak-anak dan isteri. Tak cukup dengan perbuatan malah dia begitu mudah melemparkan kata-kata yang bukan-bukan terhadap mereka.

———————————————————————————–

“Tak boleh ke kamu semua senyap? Dalam sehari ni boleh tak diam? Rimas betul duduk dalam rumah ni.”
Laila menyuruh anak-anaknya bermain di halaman belakang rumah. Memberi sedikit ruang buat suaminya menonton dengan tenang.

Malangnya tak lama kemudian kedengaran bunyi tingkap kaca pecah.
“Celaka betul!” Sumpahnya sambil menghempaskan akhbar ke meja.
“Abang!”
“Baik awak tengok anak-anak awak tu sebelum saya hambat dengan rotan! Perangai satu-satu macam tak siuman!” Getusnya kasar.

Akhirnya tingkap yang pecah kembali diganti. Cerita sumpah seranahnya petang itu hilang begitu saja. Laila berubah. Sikapnya yang pendiam menjadi semakin pendiam. Anak-anak juga sedikit menjauh. Tak ada lagi cerita Amirul di tadika. Tak ada lagi kisah Aimin yang cemerlang di dalam sukan sekolahnya. Aiman juga tak lagi mahu memanggilnya makan.

Shamizi terasa puas hati. Barangkali itu saja caranya untuk memberi sedikit pengajaran pada anak-anak.

“Pak Ngah, Eddie nak balik!” Shamizi terpana. Dia mengangguk.
“Kak Long balik dulu Mizi. Sudahlah! Kamu muda lagi. Cari pengganti.”
Alangkah mudahnya. Kalaulah dia boleh bertemu lagi yang serupa seperti Laila. Laila tak ada yang kurang Cuma dia yang tak pernah puas hati. Laila tak pernah merungut. Laila tak pernah membantah. Sepanjang usia perkahwinan mereka Laila tak pernah meminta lebih dari apa yang dia beri. Laila cuma dapat gred B walaupun dia teramat layak untuk mendapat gred yang lebih baik dari A.
“Laila”

—————————————————————————————————-

“Papa nak ke mana hensem-hensem gini?” Dia tersenyum sambil menjeling ke cermin meninjau bayang isterinya yang kian sarat. “Wangi-wangi lagi. Dating ye?”
“Saya ada makan malam di rumah bos besar. Dia buat makan-makan untuk staff.” Ujarnya masih leka membetulkan kolar kemeja batiknya.
“Ikut boleh?”
“Dia tak ajak family. Staff only!” Terangnya sedangkan difikirannya terfikir lain. Kali ni dia akan pergi ke jamuan tu dengan Helmi. Helmi akan turut menumpangkan Maria dan Harlina. Staff yang masih muda dan bujang.
“Dalam setahun papa selalu ke jamuan office tapi tak pernah pun bawak kami.”
“Leceh kalau ada budak-budak. Bukan tau duduk diam Lari sana sini, panjat itu ini. “
“Papa pesanlah..”
“Nantilah besar sikit.” Dalihnya.
“Kalau tunggu besar takut takde peluang. Nanti diorang tu dah tak nak ikut pergi mana pun.”
“Lagi senang. Saya kalau lasak-lasak ni buat hati panas je,”
Laila terdiam. “Namanya budak-budak. Anak-anak papa tu lelaki.”
“Saya pergi kejap je. Lepas tu terus balik.”
“Mama tanya sikit boleh?” Dia mengangguk
“Bos tak pelawa atau papa malu nak bawa mama dan anak-anak?”

Mereka dia tinggalkan di rumah. Di jamuan tu ramai staff yang membawa keluarga mereka bersama. Pada Shamizi dia mahukan keselesaan sedangkan hakikatnya anak-anak staff yang lain lebih lasak dan nakal. Semeja hidangan untuk anak-anak staff berderai bila ada yang bermain tarik-tarik alas kainnya.

“Never mind. Budak-budak memang macam tu. Kalau tak lasak tak cerdik,” ujar Mr. Kwai, tuan rumah.
Shamizi sedikit mengakui kebenaran kata-kata itu. Anak-anaknya pun nakal tapi amat membanggakan dalam pelajaran. Namun dia rasa serba tak kena bila bersama mereka. Bimbang ada yang menyata yang bukan-bukan tentang anak-anaknya yang lasak apatah lagi tentang isterinya Laila. Bimbang dimalukan dengan perangai anak-anaknya. Bimbang jika dikatakan Laila tidak sepadan dengan dirinya. Dia lulusan luar negara sedang Laila cuma perempuan kampung. Tak pandai bergaya seperti staff wanita yang lain. Betullah jangkaan Laila, dia malu untuk memperkenalkan isteri dan anak-anaknya pada rakan-rakan.

“Kalau tak suka pulangkan!” Kata-kata itu semakin keras di fikirannya.
Pagi itu anak-anak sekali lagi dimaki sebelum ke sekolah. Semata-mata bila Aimin dan Aiman bergelut berebutkan tempat duduk di meja makan menyebabkan air cuci tangan tumpah ke meja. Berangnya tiba-tiba menguasai diri. Kepala kedua-duanya di lagakan sedangkan perebutan itu tidak pula disusuli dengan perkelahian.

“Kamu semua ni..kalau macam ni daripada ada elok tak ada. Menyusahkan! ” Laila merenungnya dalam..
Matanya berkaca dan anak-anak ke sekolah tanpa menyalaminya seperti selalu. Laila juga tidak berkata apa-apa sebelum menghidupkan enjin untuk menghantar anak-anak ke sekolah. Shamizi dapat melihat Laila mengesat airmatanya. Dia terus menghadapi sarapannya. Sejenak dia terpandang hidangan untuk anak-anak yang tak bersentuh. Susu masih penuh di cawan. Roti telur yang menjadi kesukaan anak-anak juga tidak dijamah. Bekal di dalam bekas tidak diambil.Pelik! Selama ini Laila tak pernah lupa..

“Kalau tak suka pulangkan,”
Kali ini dia benar-benar menangis. Laila dan anak-anak terus tak pulang selepas pagi itu. Hari-harinya tak lagi diganggu dengan gelagat anak-anak. Rumah terus sunyi dan sepi. Tetap dia tak dapat tidur dengan lena. Di halaman belakang hanya ada kenangan. Kelibat anak-anaknya bergumpal dan berlari mengejar bola tak lagi kelihatan. Riuh anak-anak bila mandi di bilik air juga tidak lagi kedengaran. Dia mula dihambat rindu. Hanya ada kesunyian di mana-mana. Hanya tinggal bola yang terselit di rumpun bunga.

Selaut rindu mula menghambat pantai hatinya. Laila.
Benarlah, kita hanya tahu harganya bila kita kehilangannya.
Laila terus tak pulang sekalipun dia berjanji untuk berubah.

Laila pergi membawa anak-anaknya pagi itu bila kereta mereka dirempuh sebuah kereta lain yang dipandu laju. Laila pergi tanpa meninggalkan satu pun untuknya. Laila pergi membawa Aimin, Aiman, Amirul dan zuriat yang bakal dilahirkan dua bulan lagi..
Dia menangis semahu-mahunya bila menatap wajah lesi anak-anak dan isterinya. Dia meraung memeluk tubuh Laila yang berlumuran darah. Hakikatnya Laila adalah kitab lama itu, lapuk bagaimana pun dipandangan harganya tak terbanding, dan kerana keengganannya Laila dipulangkan…….



source: Facebook